:: Adakah Ini Akhirnya ::


Assalammualaikum w.b.t

Pagi tadi dapat mesej dari sahabat, Daveca..

"Hai, Yati!! macam mana status pertukaran kamu? 15 Ogos ini tarikh lapor diri. Cepat cek. Mana tahu kamu dapat"

Subahanallah..Allahu Akhbar..

Dup Dap Dup Dap 

Buka komputer ofis dan terus buka laman web Kementerian Kesihatan. Kot-kot ada nama saya terselit. Dalam hati berdoa semoga adalah nama saya dalam senarai untuk berpindah negeri.

....................

Kecewa. Sekali lagi, permohonan pindah saya ke negeri bawah Bayu tidak berjaya. Menangis? Ya, saya menangis. Sedih. Hati mula fikir yang bukan-bukan. Kenapa dan mengapa bukan saya yang terpilih? Menangis untuk sesuatu yang sia-sia. Ya Allah, lemahnya hati menerima keputusan dariMU. 



~Berusaha untuk REDHA~

Iman dihati berbicara ;-

"Sayang, bila kita kenal Allah Maha Pengasih & Penyayang, kita tidak boleh buruk sangka kepada allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan itu adalah sesuatu yang tidak baik. Yakinlah semua ketentuan Allah itu adalah yang terbaik...

...Disetiap ujian itu pasti ada rahsia yang tersembunyi untuk kita yang akan menyebabkan hati kita insyaAllah terubat. Walau pahit ditelan jua. Sematkan dihati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kerana kita belum mengetahuinya kita pilihlah untuk percaya padaNYA. Bila semua terjadi nanti, barulah kita tahu bahawa diakhir segala keresahan hati ini pasti ada nur kebahagiaan menanti..."

Dibumi Kenyalang inilah tempat untukku mengajar diri bahawa hidup ini adalah MilikNYA dan DIA berhak mengatur segalanya.



Alhamdulillah, hari ini masih lagi diberi peluang untuk terus menikmati indahnya dunia yang sementara ini. Alhamdulillah, masih lagi menghirup udara dengan percuma tanpa apa-apa bayaran yang dikenakan oleh Pemilik Mutlak Alam ini. Alhamdulillah, hari  ini masih lagi berjalan seperti biasa dimuka bumi ini tanpa sebaran bencana daripada manusia hatta bencana alam. 

Takziah buat keluarga mangsa tanah runtuh di Cameron Highlands. Semoga musibah yang menimpa itu menjadikan kita hamba yang bertambah keimanan dan kesabaran. Yakinlah bahawa ketika Allah menimpakan musibah kepada kita, itu tandanya Allah mahu mengangkat darjat kita disisinya dengan SYARAT kita sabar dan redha dengan musibah yang menimpa kita.

Ketika sesuatu musibah menimpa kita, ingatlah bahawa pasti ada orang yang lebih susah kehidupannya dari kita. Tidak perlu kita melihat kanak-kanak di Somalia yang mati kebuluran, pembunuhan kejam saudara seakidah kita di Palestin oleh Israel Laknatullah. Tidak perlu. Penderitaan mereka jauh lebih besar daripada kita di Malaysia.

Lihat didalam kampung kita sahaja, ada rumah yang makannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidur mereka beralaskan papan, pakaian mereka berjahit sana sini. Wajarkah kita merasa bahawa musibah yang menimpa kita ini lebih besar dari orang lain? Bersyukurlah kita hanya diuji dengan ujian sekecil zarah, yang ujian itu mengikut kemampuan diri kita sendiri.

Usahlah kita berkeluh kesah. Kita sama-sama belajar untuk redha diatas apa sahaja yang menimpa hidup kita sama ada kita suka atau sebaliknya. Yakinlah, diakhir segala penderitaan itu ada nur kebahagiaan menanti. Bukankah Allah telah berfirman ;- ....disetiap kesulitan itu bersamanya kemudahan...

Nah, untuk apa kita harus berkeluh kesah? Allahu Allah. Sabar dan tenanglah duhai hati. Lihat janji Allah, setiap kesulitan itu bersamanya kemudahan. Bersama, maksudnya ia ada cuma memerlukan kesabaran kita untuk melihat hasilnya akan datang. Ianya tidak datang begitu sahaja. Kita kena usaha untuk menghadapi ujian-ujian seterusnya.

Saya faham. Saya juga manusia biasa yang sering terduduk lemah tika ujian menjengah. Sering menangis tika merasa jalan penyelesaian telah tertutup. Sering mengeluh tika kehendak hati tidak dituruti. Aduhai hati pinjaman Ilahi, bangun dan rawatlah ia dengan zikirullah. Usah kau bersedih untuk sesuatu yang belum pasti akhirnya bagaimana. Bukankah sebelum ini telah kau berjaya merentasinya? Dimanakah kekuatan yang telah kau tanam dulu?

~Sabarlah Haryati~

...maka nikmat Tuhan manakah yang kita mahu dustakan..

Sesungguhnya disebalik kesukaran dan kesusahan itu, akan terpendamnya satu keindahan.. dan keindahan itu akan terasa bila sabar sentiasa diutamakan.. setiap kepahitan itu pasti akan ada pengakhiran, dan setiap pengakhiran itu pasti akan menguntum bunga-bunga kemanisan, selagi kita menyemai benih-benih kesyukuran.. jika kemanisan itu tidak tumbuh didunia, percayalah pada janji2Nya dimana ia akan mekar di syurga..~

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

~Bersama Kamu~

Daisypath Anniversary tickers