:: Mama ::

Ketabahanmu tidak mampu aku rungkaikan dengan kata-kata. 9 bulan aku berada dalam perutmu. Kemana sahaja aku kau bawa. Begitu juga adik beradik ku yang lain.

Masih aku ingat, mama menceritakan bagaimana sakitnya menjagaku masa dalam kantungmu sehinggalah melahirkanku bahkan menceritakan bagaimana membesarkan anak sepertiku. Menyusahkan dan berbagai ujian dan cubaan. Semuanya penuh dengan kepayahan.

Mama pernah kata, sewaktu mengandungkan aku mama mengidamkan daging rusa. Allah. Kesusahanmu mencari daging itu tidak dapat digambarkan. Satu pasar (tamu) ke satu pasar kau berjaja mulut "ada daging rusa?" "ada jual daging rusa?". Pencarian mu tidak terhenti. Malah sentiasa kau berusaha untuk memenuhi idamanmu atau lebih tepat memenuhi idamanku. Ya, setiap yang mengandung pasti akan tahu betapa masa-masa mengidam itu adalah sesuatu yang sangat perlu dipenuhi. Wallahualam.

Akhirnya, di pekan Kota Marudu kau temui juga daging rusa itupun daging terakhir yang sudah dibeli oleh saudaramu juga. Menangis-nangis mama dipasar meminta simpati agar diberi walau sebesar ibu jari daging rusa. Tangisanmu tidak diraih, malah ditertawa. Tapi masa itu mama langsung tidak pedulikan tawa-tawa mereka. Apa yang mama mahu, hanya merasai daging rusa dan teringatkan aku yang ada dalam kantungmu. Akhirnya saudara mama pun beri daging rusa kepada mama sehiris sebesar tapak tangan. Alhamdulillah. Rasa syukurmu yang tidak dapat digambarkan.

Itu kisah mengidam yang lain. Mama pernah cakap, mama dulu kuat merokok tapi bila mengandungkan aku serta merta tabiat merokok itu hilang. Tapi telah diganti dengan ketagihan makan pinang. Dan pinang itu menjadi santapan wajib mama diawal pagi dan dimana-mana sahaja kau berada. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya tabiat merokok itu tidak lagi diamalkan sehingga ke hari ini.

Satu kisah yang membuatkan aku menangis bila mama ceritakan detik kelahiranku. Disaat mama mahu melahirkan aku, entah kenapa mama teringin sangat minum minyak lampu. Keinginan itu tidak mampu dihalang dan mama sudah pun meminumnya. Dan tanpa disedari, keesokkannya adalah hari dimana aku memaksa untuk melihat bumi.

Mula-mula aku akan dilahirkan di tempatku Kota Marudu. Tapi kesan daripada mama minum minyak lampu tu menyebabkan aku terpaksa dihantar ke Hospital Queen KK. Mama kata, sakit melahirkan aku tidak dapat digambarkan. Dalam kami bertujuh, akulah yang paling menyebabkan mama terseksa walaupun mama kata aku anak yang paling mudah untuk dilahirkan.

Aku lahir dalam keadaan yang hitam terbakar. Mungkin kesan minyak lampu yang diminum mama. Nyawa mama dan aku 50/50. Namun mama gagahi jua untuk berusaha mengeluarkan aku kerasa sudah saatnya aku melihat dunia yang penuh pancaroba ini. Kelelahan mama terubat saat tangisanku bergema. Itulah kasihnya ibu, sakitnya hilang bila melihat si anak kecil.

Subahanallah. Beribu malah berjuta anak-anak urat tubuhmu terputus untuk menyelamatkan aku. Tidak mampu dibalas mama. Sungguh tidak mampu aku membalasnya. Wajarlah kenapa syurgaku ditelapak kakimu. Keperitanmu tiada tandingannya. Malah membesarkanku bersama anak-anakmu yang lain bukanlah satu perkara yang mudah. Wajar bukan kalau aku menganggap dialah manusia paling HEBAT!!

Masih aku ingat, masa itu mama menghantarku kesekolah. Menangis-nangis aku menolak tanganmu tidak mahu dipimpin. Lebih tepat tidak mahu ke sekolah itu kerana aku ingin mengikuti bapa. Sabarmu sehari melihat tangisanku. Memujuk aku yang menangis. Hingus yang keluar kau sapukan. Air mataku kau lap.  Tapi aku tetap saja menangis memanggil "saya mau bapa..mau bapa..mau bapa".

Kelelahan seorang ibu hanya kerana aku. Diberi duit 50 sen sebagai pengubat. Tapi aku membuangnya. Kau kutip semula. Kau berikan padaku. Tapi tetap juga aku membuangnya. Tiada nilai 50 sen berbanding dapat bersama bapa. Ya, aku lah anak yang manja. Sabarmu berakhir. Melepaskan aku bersama bapa akhirnya.

Aku tahu, kau tidak mahu aku berpanas dan berhujan. Kerana 30 minit masa diperlukan untuk ke tempat kerja bapa. Kalau hujan, basahlah anakmu. Risaumu takut aku sakit. Kalau panas, merahlah muka anakmu. Risau anakmu menjadi hitam (mungkin). Tapi kedegilanku tidak boleh dilebur.

Bila keluar keputusan UPSR, kau gembira. Siapa ibu yang tidak gembira melihat anaknya berjaya sungguhpun bukan A aku persembahkan.

Aku masih ingat mama pernah cakap, "Dui, lepas ni tiada sudah kan kamu belajar?". Aku menjawab iya. Iya mana ada lagi pembelajaran selepas itu. Yang ada hanya aktiviti-aktiviti bermain dalam kelas. Hari untuk aku bergembira bersama rakan-rakan. Orang kata, bulan madu. Yang tidak boleh dikacau.

Tapi aku?? "Dui, lepas ni kau jangan la pergi sekolah. Tiada belajar juga kan. Kau menjual la di pekan. Ada juga duit kan?" Masa itu aku protes! Marah. Tapi hanya dihati. Mood ke sekolah terus berubah mendadak. Manakan tidak. Itu adalah hari dimana aku bergembira bersama kawan-kawan. Hari untuk aku BEBAS. Tapi akhirnya berubah menjadi perkara yang paling tidak aku suka tapi ku turuti. Mungkin itu pengorbanan aku untuk keluarga.

Setiap hari aku menjual. Kekadang RM35 sehari aku dapat. Duit itulah yang digunakan untuk kegunaan harian dirumah. Senang hati mama ada pendapatan harian. Tapi aku?? Rasa marah sentiasa ada. Bila petangnya kawan-kawan menceritakan keseronokan bermain di sekolah, rasa marah itu semakin menebal. Rasa benci bila berniaga. Memberontak mahu ke sekolah juga. Akhirnya pemberontakan aku dihidu mama. Aku ke dapat ke sekolah. WAH!! benarlah kata2 sahabat, sangat seronok!

Bila cuti hujung tahun pula, aku sekali lagi diminta oleh mama untuk menjual di pekan. Tertanya juga dalam hati, kenapa tidak suruh saja kakakku yang menjual. Kenapa aku?? Mama memujuk. Kakakku banyak kerja yang perlu diselesaikan di rumah. Ya, itu kelebihan orang menjual di pekan. Bila aku balik, aku tidak pun buat apa-apa kerja. Boleh tengok tV dengan senang hati. Boleh goyang kaki. Makan tersedia. Alasan, "aku penat menjual.Jadi tidak boleh buat kerja". Itu saja alasan yang aku pakai. Aduh kejamnya aku!!

"ma, saya dapat tawaran sekolah di sekolah agama papar. Mau pegi. Ramai kawan dapat di sana." kataku dengan gembira. Tapi serta merta wajah mama berubah. "Dui, bukan mama tidak mau. Tapi jauh bha tu. Mesti perlu duit banyak. Sekolah disini saja lah. Sama juga kan." Mama memujuk. Itulah impianku. Antara Sekolah Agama Tun Said ataupun Sekolah Agama Papar. Tapi semuanya terpaksa dikorbankan kerana kakak-kakakku lebih memerlukan.

Bila kakakku dapat masuk U, mama lah yang paling gembira. Sebab bagi mama, itulah saja cara untuk kami tidak dipandang serong oleh keluarga lain. Ya, naluri seorang ibu tidak mahu anaknya sekolah setakat spm. Selagi kudrat masih ada, selagi itu usaha mama tidak berhenti. Bukan bapa tidak seronok, tapi keseronokan itu lebih terpancar diwajah seorang ibu.

Kita tahu, kos tinggal dibandar besar memerlukan kewangan yang cukup. Mamalah yang selalu risau akan anaknya yang jauh dimata tapi teramat-amat-amat dekat dihatinya. Selalu bertanya dalam hati "macam mana kakak kamu di sana?" "apalah makanan dia di sana?". Ya, mama yang selalu kelihatan risau. Bapa mungkin risau tapi anak boleh rasa siapa yang lebih risau dan siapa yang bersahaja. Aku merasainya.

Tiap-tiap hari bapa bangun jam 2 pagi mengadun kuih untuk jualan esok pagi. Mama pula akan bangun seawal jam 4 bersamaku dan kakakku Odea. Itulah rutin harian kami untuk menampung kehidupan seharian. Hendak diharapkan gaji hari bapa sebagai tukang kebun, dan gaji bulanan mama sebagai pekerja rendah memang tidak cukup. Bukan kami tidak mensyukuri rezeki sedia ada, tapi keperluan melebihi pendapatan.

Pernah sekali, aku mendengar perbualan mama dan bapa.

mama : "yu, ada lagikah duit si erna disana?"
bapa : "kalau tiada tu, nanti dia talifon la."
mama : "si erna bukan jenis macam tu. Dia tu diam saja. Tiada kali duit dia"
bapa : "bha, talifon lah"

Sayu suara mama bila mengenangkan anaknya yang jauh itu. Siapa ibu yang tidak risau. Siapa ibu yang tega membiarkan anaknya kelaparan. Tapi, aku masih juga dengan hati batuku. Langsung tidak memikirkan kesusahan kakak yang jauh. Yang aku fikir, kesusahan aku bangun awal pagi dan menjual dipekan dalam keadaan yang panas jika mentari memancar tanpa belas kasihan. Ya, itulah aku adik yang berhati batu.

Kerisauan mama dengan hasil jualan yang sedikit memaksa mama dan bapa turun ke sungai dan laut ditengah malam. Aku tidak berbohong kerana aku yang bersama mereka. Disaat semua kakak, abang dan adik-adik tidur, aku dengar mama dan bapa sibuk mengurus keperluan menangkap udang. Aku memerhati dan mengekori dari belakang. Tapi akhirnya mama dan bapa sedar kehadiranku dan memaksaku untuk balik. Tapi aku enggan. Terasa seronok berada diluar rumah. Suka melihat suasana malam.

Aku hanya duduk mencangkung di atas perahu. Mama dan bapa turun ke sungai untuk menangkap ikan. Tidak sanggup rasanya aku turut serta turun di air yang sangat sejuk itu. Kedengaran gigilan dibibir mama. Kuat sangat. Kesejukan. Bapa juga begitu tapi kudrat seorang lelaki tidak dapat ditandingi. Alhamdulillah malam itu rezeki sangat banyak. Banyak udang yang mama dan bapa dapat. Besar-besar lagi.

"Nah..esok kalau laku saja udang ni, 50 ringgit tu terus kirim tempat si erna. Kalau ada lebih beli beras, sikit sudah beras kita. Kalau boleh beli la ayam, teringin tu si kundung makan ayam. Sakit lagi tu dia. Kempunan nanti." Bapa mengiyakan. Aku sibuk memilih udang yang perlu diasingkan mengikut jenis udang. Tapi selalu saja salah tempat. Tapi mama dan bapa tidak marah, malah mengajarku tanpa henti. "kalau macam ni, namanya udang tonggiput. Kalau ini raja udang." Aku hanya ketawa. Lucu pada nama-nama udang yang bapa perkenalkan.

Keseronokan dan kegembiraan terpancar diwajah mama bila diberitahu duit rm50 sudah dikirim untuk kakakku di bandar metropolitan tu. Ku dengar lagi "malam ni pun kita merambat a yu.." kata mamaku. Dalam hati, eh merambat lagi?? tidak penat?? Mama sanggup buat apa sahaja untuk anak-anaknya sungguhpun terpaksa berkorban tenaga, kesenangan dan tidurnya. Itulah mama!! Sekali lagi, wajar kan jika aku katakan syurgaku dibawah telapak kaki mama??

Pengorbanan mama tidak dapat dibalas. Sungguh!! Tidak mampu kita membalasnya. Mama selalu mengingatkan kita tentang pengorbanannya. Atau lebih tepat, kita selalu kata mama suka mengungkit. Tapi sedarkah kita, itu bukan satu ungkitan tapi satu peringatan agar sebagai anak kita menghormatinya. Tidak melupakan jasanya kerana mana ada ibu yang sanggup menyakiti anaknya, menyusahkan anaknya. Kitalah yang selalu menyakiti hatinya. Bukti?? Tanya pada hati kita.

Jika kita kata, kita tidak boleh lagi mengikuti gerak langkahnya, sedarkah kita sejak dikandungan lagi mama terpaksa mengikuti kehendak kita. Berusaha semaksima mungkin memenuhi kehendak kita. Berkorban segalanya untuk melihat kita bahagia. Sehingga kadang-kadang sakitnya tidak ada yang peduli.

Kata-kata mama, bila difikirkan itulah kata-kata pembakar semangat. Jika mama tidak cakap itu dan ini, sudah tentu kita menjadi manusia yang lemah.

Sedarkah kita, mama lah yang selalu menjenguk masuk bilik ke bilik menyelimuti kita. Risau anaknya kedinginan. Sedarkah kita, mama lah yang selalu berusaha untuk mencari makanan untuk kita. Risau anaknya kelaparan. Sedarkah kita, mama lah yang selalu kehulu kehilir mencari penawar untuk kita. Risau anaknya kesakitan. Allah.. mama mama.. Ketabahanmu tiada tandingannya.

Terbit mentari untukmu menjalankan amanah kerjamu. Bila bulan muncul segala tidurmu dan masa rehatmu kau korbankan untuk keluargamu. Sehingga darah yang keluar dari mulutmu kau anggap gula-gula. Tidak sedikit pun sakitmu itu menghalangmu dari berusaha mencari rezeki. Kekuatanmu melebihi kekuatan bapa.

Aduh mama. Pengorbananmu sungguh besar. Keperluan keluargamu lebih kau utamakan daripada dirimu.
Ku ingin katakan kepada diriku yang utamanya dan yang bergelar anak, jangan cari kesalahan ibumu selagi tidak dapat kau balas pengorbanan ibu menjaga dan membesarkanmu dari dalam kandungan sehingga kita mampu menjadi dewa sehingga saat ini.

Ingat, walau nyawa sebagai ganti itu belum cukup membalas jasa mama!!

Tinta Hati --> ya Allah, berilah hidayah kepadaku, ibu bapaku dan keluargaku. Berilah kami peluang untuk membentuk sebuah keluarga bahagia mengikut acuan alQuran. Buat mama, redhamu ku harapkan. Terima kasih kerana membesarkan aku dengan kesusahan kerana kini aku tahu kita belajar dari kesusahan. Susah itu membuat aku tahu apa yang simiskin rasa.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

~Bersama Kamu~

Daisypath Anniversary tickers