:: Dia Yang Bergelar BAPA ::

Tapi tinta ini khas buat bapa tercinta.

Bapaku Sayang
17-mac-2011, 2.05 am
"Daun kayu sama ada dia masih hijau ataupun ta', ya tetap jatuh ke tanah jika ajalnya sudah sampai. Begitu juga manusia sama ada tua atau muda kalau sudah sampai masanya pasti ia menemuie ajalnya. Oleh itu, kita sebagai manusia tidak dapat lari dari kesilapan atau kesalahan. Maka cepat-cepat bertaubat dan meminta maaf pada orang yang kita pernah sakiti seterusnya berdoa minta ampun pada Tuhan"

Kuterima mesej dari seorang manusia yang sangat hebat dihatiku. Menitis air mata ini. Tidak mampu untuk aku sembunyikan rasa kasih dan sayang ini buat insan bergelar BAPA, AYAH, ABI, ABUYAH, ABAH, dan pelbagai lagi gelaran buat lelaki tabah ini.

Pa,
aku menjadi saksi diatas ketabahanmu demi keluarga tercinta.
aku menjadi saksi untuk titisan keringatmu ditengah panas mentari.
aku menjadi saksi untuk kedinginanmu dikala hujan menyiram bumi.

Sentiasa aku ingat, kelahiranku membawa rahmat untukmu. Ya, mungkin juga itu sudah rezeki yang Allah berikan untuk ayah yang sudah tercatat di loh mahfuz. Rezeki anak dan juga pekerjaan sungguhpun sekadar tukang kebun bergaji hari.

Tidak pernah aku mendengar keluhanmu tika kau kelelahan. Senyummu sentiasa terukir bukan untuk isteri dan anakmu, malah untuk setiap insan yang menyapamu. Amat sukar sekali melihat wajahmu tanpa senyum. Itulah bapa. 

Kau mendidikku untuk terus menjadi kuat tanpa kau sedari. Kesusahan dan derita yang kau alami membuat aku terus ingin memajukan diri. Ku akui, tiada harta, kesenangan dan kemewahan yang kau mampu berikan.

Masih aku ingat, masa itu aku berusia 8 tahun. Ada konflik antara bapa dan mama. Ya, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Malam itu aku tidak dapat tidur kerana aku sangat manja padamu walaupun mungkin tidak kau disedari. Paginya aku memaksa mama menghantarku padamu. Menangis-nangis aku memaksa mama.

Dengan berkenderaankan motosikal, kerasa saat itu kita hanya ada kereta beroda dua, mama menghantarku kepadamu setelah puas ku pujuk. Kaki melangkah masuk kedalam rumah yang telah lama kita tinggalkan, Kg. Damai. Aku lihat 2 bungkus biskut dan segelas air kopi. Sarapan kegemaranmu. Menangis mencari tingkahmu dimana. Mama sudah pergi dengan kereta beroda dua itu.

Lama aku duduk ditangga sambil menggoyangkan kaki. Menanti dengan rasa rindu yang sarat didada. Lama aku menanti bapa ditangga usang, barulah bayangmu kelihatan. Aku melihat ditanganmu pucuk ubi kayu. Bermonolog lagi si gadis kecil "oh..bapa cari sayur rupanya. Adalah untuk makan tengah hari ini"

 Baki biskut dan kopimu ku jamah kerana aku kelaparan. Ku tahu kau pun lapar tapi kau tahan kerana anak kecilmu ini kau dahulukan. Ya, saat itu tidak pernah aku lupakan. Dan akan menjadi memori terindah sibapa dan anaknya. 

Bila kita berhijrah ke kempung seberang (Tandek), disana lebih aku melihat sifat baik hatimu. Ya baik hati seperti mama juga. Tapi mungkin pada pandangan orang sekeliling, mama tidak baik hati. Tidak apa, aku kenal siapa mama dan siapa bapaku. Tiada insan dizaman ini seperti mama dan bapa.

Baiknya hatimu mengizinkan jiran-jiran menggunakan ruang tamu rumah untuk menjahit atap nipah meskipun mungkin ianya menganggu pembelajaran anakmu dengan keriuhan suara mereka. Baiknya hatimu yang sentiasa menghulurkan bantuan berupa tenaga meskipun tidak diminta dan tidak berbalas. Mahu membantu dari segi kewangan, dirimu juga dihimpit kesusahan. 

Masakan tidak dihimpit kesusahan, 7 orang anak yang berbagai watak terpaksa kau besarkan bersama mama. Pekerjaan sebagai tukang kebun, dan mama sebagai pekerja rendah sahaja dijabatan Agama memaksa bapa dan mama turun kelaut tiap malam tidak kira bulan terang menerangi atau bulan menyembunyikan sinarnya. Dihujung minggu turun lagi kelaut seawal pagi. Berlumba dengan matahari siapa dulu memancar dan siapa dulu masuk ke hutan mengambil atap nipah. Subahanallah!! Jasamu tidak mampu kubayar walau ku gadai nyawa ini sebagai ganti.

Ku kenang kembali memori penghijraan kita ke Tandek, ketika aku berusia 6/7 tahun. Abangku sudah berpindah sekolah tapi aku??Manjaku tidak mahu berenggang denganmu. Sanggup berpanas dan berhujan bersamamu. Berulang alik dari Tandek ke Talantang dengan kenderaan beroda dua kita. Bukanlah aku mengatakan aku anak yang baik kerana sentiasa bersamamu susah dan senang, tapi naluri itu tidak mampu aku sembunyikan.

Sehari di sekolah Tandek, tidak keruan dibuatnya. Mama sudah berputus asa dengan anaknya yang menyusahkan ini. Lantas dibenarkan bersama bapa untuk terus sekolah di Talangang kerana amanahmu di sekolah itu. Menjadi tukang kebun. Menjadi teman sirumput 'sundal'. Menjadi kayu api simatahari. Menjadi tempat sipeluh menitis. Gelaranmu dan kebaikanmu sehingga kini disebut-sebut. Allahu Akhbar!!

Aku selalu duduk dibakul depan kereta beroda dua itu. Seolah-olah akulah pemandu kereta beroda dua itu. Bangga dengan kenderaan yang ada. Mungkin itu rasa syukurku tapi tidak aku ketahuinya saat itu. Selalu aku tertidur diatas kepala kereta beroda dua. Aku tahu mesti saat itu pemanduanmu lebih hati-hati kerana bila-bila masa aku boleh menjatuhkan diri tanpa sedar. Selalu juga kau bertanya "Dui, kau tidur?". Kau tahu aku tertidur tapi sengaja kau bertanya agar aku tidak ketiduran. Ku tahu kerisauanmu. Tapi sebagai anak yang tidak mengerti, aku tidur juga dikepala kereta beroda dua itu. Bila aku ingat sekarang, bodohnya aku sebagai anak yang tidak mengerti. Aku tersenyum, hati berkata "budak lagi masa itu. Kalau aku mati pun usia itu, insyaAllah syurga tempatku". Kemudian aku menangis lagi.

Oh ya, satu lagi kisah yang membuat aku tersenyum dan mungkin juga tergelak panjang. Satu hari, panas matahari membakar. Motorsikal yang kau bawa berjalan mengikut arahan tanganmu sesuai perintah Allah pada maklukNYA. Tiba disatu simpang, secara tiba-tiba kepala motorsikal kau pusingkan 180 darjah. Aku yang ketika itu tertidur terjaga. Terkejut. Dub dab, dub dab jantungku bergetar. Dan aku merasakan getaran jantungmu jauh lebih bergetar dari jantungku. Aku kehairanan.

Kau akhirnya memilih jalan yang berdebu. Habis mukaku terkena debu sehingga masuk kedalam mata, hidung dan juga mulutku. Mungkin juga kereta hilux didepan yang membuat habuk tanpa segan berteburan. Aku kehairanan. Kenapa jalan ini yang bapa pilih?? Banyak habuk!! Aku marah. Sangat marah. Aku teriak "Pa, kenapa tidak jalan di aspal. Tingu, masuk suda habuk dimata, dihidung sama mulut saya!!!" Aku terus meludah membuang habuk yang sempat masuk dimulutku. Tanpa aku sedar, rupanya ludah itu terkena dimuka bapa. (hahahaha). Tapi bapa tidak sedikitpun marah malah sampai dirumah bapa tergelak.

"Dui, tadi tu ada JPJ. Bapa tiada lesen. Rontek (roadtax) motor mati." Oh baru aku faham kenapa degupan jantung itu kuat kedengaran dan bapa cepat mengelak. Kalau jalan itu juga yang bapa pilih, mesti beratus duit melayang untuk membayar saman. Aku tersenyum ingat peristiwa itu. Sempat juga bapa cakap "Kenapa kau ludah bapa tadi?" Sengaja bertanya. "Saya buang habuk yang masuk dalam mulut ba tu Pa. Sakit kerongkong saya". Bapa ketawa. "haha..lain kali jangan meludah macam tu. Tunduk bawah la atau bagi tahu bapa. Kena dimuka bapa ludah kau tadi. Mau muntah bapa. Hahaha" Kami ketawa lagi. 

Ya, kesusahan itu membuatkan aku berusaha. Mungkin dalam pelajaran aku tidak mampu memberikan kegembiraan pada mama dan bapa. Tapi dalam doaku, aku tidak pernah lupa pada kalian. Banyak yang kita lalui bersama. Ya, jadi tidak dapat aku nafikan kebaikan dan kasih sayang kalian sungguhpun orang-orang sekeliling melihat yang buruk pada kalian. Bersangka baik, mereka hanya melihat luaran. Kami merasainya luar dan dalam..

Bapa, kiranya tinta ini sampai kepengetahuanmu. Ingatlah, anakmu sentiasa mendoakanmu. Aku redha mempunya bapa sepertimu. Ya Allah, selamatkan dan redhai bapaku. Semoga diakhirat kelak, kami dapat bersama.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

~Bersama Kamu~

Daisypath Anniversary tickers