:: Belihai, Apalah Erti Air Mata Ini ::

Tersedar dari lamunan yang panjang. Rupanya ada air jernih yang jatuh tanpa dipinta. Hadir disaat lidah benar-benar tidak mampu untuk mengungkapkan apa-apa lagi. Andai ujian ini menambah keyakinanku kepadaMU dan membuat aku semakin dekat kepadaMU, aku redha ya Allah. InsyaAllah, aku belajar untuk redha. 

Tidak semua kehendak hati kita perlu dituruti. Siapa tahu dalam kehendak itu, ada nafsu yang mendahului, ada nafsu yang merajai. Allah. Hindari aku dari itu semua. Aku cuba dan berusaha untuk bersangka baik diatas semua yang Allah berikan. Benarlah, dalam hidup ini tidak semua kehendak dan keperluan kita adalah yang terbaik untuk kita. Aku sedang belajar untuk sedar akan hakikat itu sungguhpun air mata menjadi taruhan.

Pesan dinda kasayanganku, berfikiran positif la diatas apa yang menimpa diri kita. Jangan pernah bersangka buruk terhadap Allah. Jangan pernah mempersoalkan kenapa, mengapa ujian ini menimpa kita. Allah Maha Mengetahui, kita ini kepunyaan Allah. Wajib bagi Allah untuk menguji hambaNYA.

Sejak kecil aku belajar untuk berkorban. Disaat sahabat-sahabat bermain di padang sekolah selepas tamatnya peperiksaan UPSR, aku pula 'bermain' ditengah panas menjual kuih untuk kelangsungan hidup sekeluarga. Almaklum, ayah hanya seorang tukang kebun bergaji hari, mama pula sungguhpun kerja bergaji bulan, tidak mampu menampung kehidupan dek anak-anak yang kian membesar. Segala-galanya butuh wang.

Hujung minggu, rakan-rakan sibuk dengan permainan mereka. Kesana kemari dengan riang tawa. Balik rumah tatkala mentari meninggalkan warna gelap. Makanan tersedia persis puteri dikayangan. Dan aku pula, sibuk 'bermain' dengan debu ditepi jalan. Sibuk 'bermain' dengan makcik pakcik agar jualan kuih dibeli. Sempat juga kerja sebagai tukang jual sayur di gerai kakak Angelin. Sehari dapat RM3, lumayan untuk beli kasut baru! Almaklum, sejak di sekolah rendah hanya memakai kasut 'bekas-bekas' saudara mara.

Tapi dalam tidak sedar, rupanya aku menangis sendirian di gerai. Mengenang nasib. Usia sekecil itu, yang aku tahu hanya ingin seronok. S.E.R.O.N.O.K. Siapa yang tidak mahu? Hati memberontak. Kenapa mesti aku??? Kenapa bukan yang lain??? Si mama kata "dorang kakak kau sibuk kerja dirumah. Dorang yang masak. Dorang yang cuci kain. Tidak apa la, nanti mama bagi gaji." Terubat juga hati bila dijanjikan upah! Aduhai diriku yang tidak mengerti tika itu. Dikenang cerita lama, air mata mengalir lagi.

Tidak cukup dengan berniaga kuih, ikut pula si bapa dan si mama 'merambat' udang ditengah malam. Suka-suka. Suasana malam kan indah! Menjadi masa sesuai si Pungguk melepaskan rindunya dan menanti si Bulan yang tidak kunjung tiba. Sejuk air membuatkan gigi berlaga sesama sendiri. Terasa macam berada di himpunan salji putih.

Ada kebahagiaan yang aku rasa setelah melalui semua itu dengan sabar walaupun keluhan sentiasa dihujung bibir. Belajar menjadi anak yang tidak membantah dan melawan kata-kata si mama dan si bapa. Mengikut segala rentak kehidupan yang mereka canang mengikut acuan mereka sendiri. Acuan kehidupan yang akhirnya menjadikan aku anak yang menurut, meskipun terkadang kehendak dan keperluan hati terpaksa dikorbankan.

Cita-cita? Iya, aku punya cita-cita yang tinggi. Macam kawan-kawan aku juga. Macam kakak-kakak, abang dan adik-adik aku yang sudah memegang segulung ijazah dan bakal-bakal memegang segulung ijazah. Tapi untuk kesekian kalinya, aku dengan rela berkorban demi keluarga tercinta, keluarga tersayang. Meninggalkan segala angan-angan yang dibina. Meninggalkan bumi bawah bayu dengan hati yang redha akan ketentuanNYA. Mencari kehidupan baru di bumi asing, bumi Kenyalang. Setiap hari berteman air mata, merindui keluarga yang jauh, mengenang cita-cita yang kian terkubur jauh di lubuk hati.

Tersedar diri ini, pasti ada hikmah diatas kurniaanNYA. Dan itu PASTI. Acuan kehidupan dari Allah adalah yang terbaik untuk hambaNYA. Hati memujuk, tidak apa tidak dapat sekolah tinggi-tinggi, sekurang-kurangnya aku tidak membebankan mama dan bapa dengan belanja yang besar ketika berada di menara gading. Adik-adik pula dapat sambung belajar dengan sedikit bantuan dari aku. Alhamdulillah, bukankah itu sudah cukup baik??

Menangis? Iya, sejak dari kecil aku belajar menangis untuk menghilangkan segala rasa di dalam hati. Tidak mahu sedikitpun menyimpan rasa dendam kerana aturan hidup seperti ini. Allah? Tika itu, aku tidak mengenal siapa Allah. Tidak tahu cara meluah kepada yang BERHAK. Hanya awan tempatku meluahkan segalanya. Awan?? Awan putih suci yang sentiasa menjadi teman aku ketika hati sedih tidak dapat bersama kawan-kawan. Tidak dapat berseronok bersama.

Dan sekarang? Aku masih lagi menjadi anak kecil yang selalu menangis. Hentak-hentak kaki macam budak kecil menginginkan patung doremon. Ya, itulah aku. Seorang wanita yang mudah menangis bila hati kecil ini disentuh. Bukan bermakna aku lemah, tapi aku yakin setalah menangis akan aku rasai satu ketenangan. Ketenangan dari muhasabah diri kepadaNYA bukan lagi pada awan putih yang akan meninggalkan aku diwaktu malam tanpa cahaya.

Hari ini? Aku menangis lagi. Masih juga tidak ubah gaya tangisannya. Hentak-hentak kaki. Mujur saja hingus tidak menjadi 'belon'. Ahhh, aku sudah besar untuk lap cairan yang keluar dari hidung itu! Tapi aku tidak cukup besar untuk melawan kaki yang memaksa untuk dihentakkan. Oh, itu tandanya hati ini SANGAT TERSENTUH, SANGAT SEDIH, SANGAT TERLUKA.

Dan tangisan kali ini bukan kerana disuruh berpanas di bawah sinar suria dan bukan lagi bersejuk di bawa rembulan mengembang. Tapi kerana hajat besar ingin aku capai bersama 'dia' pilihan hati tanpa ada sesiapa terluka, tanpa ada sesiapa yang tersusah. Aku tidak kisah kalau yang akan menangis sehari-hari itu adalah AKU. Aku tidak kisah kalau yang akan susah itu adalah AKU. Jangan risau. Kerana itu adalah aku. Kehidupan lalu mengajar aku untuk kuat dalam tangisan.

Walaupun aku menangis, sebenarnya itulah kekuatan aku!


~cik Dui yang belihai, godooootss~

Nota Hidup : Menangis bukanlah kelemahan, tapi tanda kejujuran hati. Tiada pemandangan yang lebih indah, daripada dirimu yang sedang diuji atau disakiti, tapi tetap setia bermanja hati kepada Tuhanmu...♥

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

~Bersama Kamu~

Daisypath Anniversary tickers