Lumrah bagi wanita, sentiasa ingin kelihatan cantik.Tapi berpada-pada memilih untuk menjadi cantik. Kena selidik dan fikir betul-betul tentang produk yang kita gunakan. Kalau boleh, bertanyalah kepada sesiapa yang pakar.
Buat penjual pula, semoga kita sentiasa jujur dengan diri kita sendiri. Jujurlah dalam berniaga. Jangan kerana mahu untung cepat, kita buat sesuatu yang boleh memusnahkan diri sendiri dan orang lain terutamanya. Satu lagi, kena ingat... kerana nila setitik, rosak susu sebelanga :(
HULU LANGAT 23 Julai - Bagi menyakinkan pelanggan dan melariskan produk, sepasang suami isteri yang mengeluarkan suplemen kecantikan melantik seorang pelakon jelita tempatan sebagai duta bagi mempromosikan produk tersebut.
Selain artis wanita itu, seorang pelakon lelaki popular tempatan berasal dari Singapura turut dilantik menjadi duta bagi satu lagi produk syarikat mereka iaitu yogurt segera.
Namun, suplemen kecantikan berbentuk tablet itu yang berperisa strawberi dan didakwa boleh menyelesaikan beberapa masalah kecantikan itu sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kerana tidak didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Produk berkenaan didakwa mampu mencerahkan dan melembapkan kulit, merawat jerawat, ekzema, resdung dan ruam membantu meningkatkan sistem imunisasi badan serta mencegah kanser.
Suplemen itu dikatakan mengandungi vitamin C, kolagen, gluta dan asid hyaluronic dijual dalam talian dengan harga RM109 sebotol dan kini ditawarkan harga promosi RM90 turut boleh dibeli secara borong dengan harga RM750 bagi 12 botol dan RM3,250 (57 botol).
Produk kecantikan itu didakwa menjadi pilihan ribuan pengguna dan menjadi suplemen pilihan nombor satu di negara ini, tiada gelatin, selamat serta dijamin halal.
Rahsia pasangan suami isteri itu terbongkar apabila sepasukan anggota dari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, KKM membuat serbuan di kilang, butik pakaian dan kedai yogurt segera milik mereka di Kawasan Perindustrian Lekas, Semenyih dan Seksyen 8, Bandar Baru Bangi hari ini.
Dua artis popular yang menjadi duta kepada produk keluaran syarikat berkenaan bagaimanapun tiada kaitan dengan aktiviti itu.
Menurut sumber, Bahagian Penguat Kuasa Farmasi yang menerima maklumat mengenai suplemen kecantikan tidak berdaftar itu menjalankan siasatan dan intipan sebelum menyerbu kilang dan dua premis lain yang dijadikan stor penyimpanan produk tersebut pada pukul 12.30 tengah hari ini.
"Semasa serbuan dilakukan di kilang, beberapa pekerja sibuk menjalankan kerja-kerja menghasilkan suplemen menggunakan mesin khas.
"Selain mesin, turut dijumpai ialah beberapa bungkusan besar mengandungi bahan makanan dipercayai digunakan untuk menghasilkan suplemen tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia yang dibawa menyertai serbuan itu hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an itu mendapati mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana mengeluar dan menjual produk yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Menurutnya, suplemen itu dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan kerana produk tersebut tidak diuji untuk keselamatan, kualiti dan keberkesanannya.
Sumber berkenaan memberitahu, nilai keseluruhan mesin, bahan mentah dan ubat kesihatan tidak berdaftar yang dirampas di kilang di Semenyih serta masing-masing sebuah butik dan kedai yogurt yang dijadikan stor penyimpanan bernilai kira-kira RM700,000.
Beliau berkata, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, individu disabitkan bersalah boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
"Sebuah syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan maksimum RM100,000 untuk kesalahan kedua dan berikutnya," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130724/je_02/Produk-kecantikan-haram-guna-artis-popular-diserbu#ixzz2ZwOOyCyh
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment